APABILA anda membeli-belah di pasar raya, anda dapat melihat
pelbagai jenis produk makanan yang mengandungi khasiat semula jadi, diperkaya
atau lain-lain makanan alternatif yang menyihatkan.
Pengeluar makanan telah membuat pelaburan yang tinggi untuk mengukuhkan nilai
pemakanan produk mereka. Malah, restoran mamak juga turut menawarkan versi
‘kurang manis’ untuk minuman kegemaran kita!
Industri makanan sudah memulakan trend baru bagi memenuhi permintaan yang
semakin meningkat terhadap keperluan pengguna yang prihatin terhadap kesihatan
mereka.
Walaupun ini adalah satu perubahan yang baik, keperluan terhadap pasaran remaja
perlu juga diambil perhatian. Dengan kuasa membeli dan kebebasan yang dimiliki,
para remaja kini membuat pilihan mereka sendiri apa yang perlu dibeli atau
dimakan.
Malangnya, pilihan yang dilakukan kebiasaannya terdiri daripada diet tinggi
kalori, lemak tepu dan trans, gula dan garam halus. Pengambilan
buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kalsium pula lebih kurang.
Masalah remaja
Kesan pemilihan makanan yang tidak sihat dan tabiat makan yang buruk dapat
dilihat di seluruh dunia. Di mana-mana sahaja, terdapat sebilangan remaja yang
mengalami masalah malnutrisi/kekurangan zat makanan yang teruk.
Sama ada terlebih atau kurang khasiat pemakanan. Perkara ini boleh menyebabkan
penyakit yang mampu menjejaskan kualiti kehidupan mereka dan, dalam kes-kes
yang lebih teruk, mengancam nyawa.
Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong, keadaan
di Malaysia juga agak runcing.
“Remaja-remaja Malaysia mengalami masalah berat badan yang berlebihan dan
obesiti kesan daripada diet yang buruk serta kurang menjalani aktiviti fizikal.
Ini boleh menyebabkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2, penyakit
jantung dan strok,” jelas beliau.
Sementara itu, Dr. Poh Bee Koon, Profesor Madya di Jabatan Pemakanan &
Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap ahli majlis Persatuan Kajian
Obesiti Malaysia (MASO), turut bersetuju dengan kenyataan ini.
"21.4 peratus remaja di kawasan bandar dan 16 peratus di kawasan luar
bandar menghadapi masalah berat badan berlebihan. Hakikatnya, sebanyak 6
peratus remaja telah dimasukkan ke hospital disebabkan oleh diabetes dan angka
ini semakin meningkat,” kata beliau.
Dan ia bukan sahaja masalah khasiat pemakanan yang berlebihan.
“Zaman remaja adalah satu tempoh pertumbuhan yang pesat di mana keperluan
pemakanan adalah amat penting. Kegagalan untuk memenuhi keperluan ini akan
menyebabkan kekurangan zat pemakanan, dan kebanyakannya adalah kalsium dan zat
besi.
“Kajian tempatan yang telah dijalankan menunjukkan lebih dari 70 peratus di
kalangan remaja mungkin tidak mengambil makanan yang kaya dengan kalsium
secukupnya. Tambahan pula, 22 peratus remaja luar bandar telah dilaporkan
mengalami anemik,” jelas Teng Yu Yuet, Ketua Pakar Diet di Pusat Perubatan
Sunway yang juga Penolong Setiausaha (Kehormat), Persatuan Dietetik Malaysia.
Walaupun industri makanan telah membuat pilihan yang tepat, namun persoalannya
ialah, adakah usaha kita mencukupi? Atau lebih tepat lagi, apakah yang perlu
kita lakukan lagi?
Apa yang boleh dilakukan oleh pengeluar makanan?
Inovasi produk-produk lebih menyihatkan
Mulakan penyelidikan dan aktiviti pembangunan bagi mewujudkan produk-produk
baru atau membangunkan semula produk asal dengan meningkatkan nilai pemakanan
produk tersebut. Cari jalan untuk menjadikan produk anda yang sihat lebih
lazat, mudah untuk dimakan dan menarik di mata pengguna remaja.
Kaji semula amalan pasaran semasa
Apakah mesej yang disampaikan oleh anda untuk pengguna remaja? Sebagai contoh,
adakah usaha pemasaran anda menampilkan imej tubuh yang tidak sihat seperti
tubuh yang kurus adalah lebih cantik?
Remaja mudah terpengaruh, oleh itu olah mesej komunikasi anda dengan
berhati-hati untuk memastikan mereka sentiasa mempromosikan kesihatan yang baik
dan kesejahteraan yang menyeluruh.
Tiada produk atau khasiat pemakanan yang boleh meningkatkan keadaan atau
menyembuhkan penyakit, oleh itu elakkan dari menyebarkan maklumat palsu atau
mengelirukan. Hanya gunakan kenyataan yang dibenarkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM).
Sokongan yang berkesan
Sokongan terhadap produk terutama oleh individu yang terkenal, sentiasa
berkesan di kalangan pengguna remaja. Kita lihat ramai selebriti menyampaikan
mesej kepada para remaja supaya menjauhi dadah. Mengapa tidak menggunakan
kaedah yang sama untuk mempromosikan pemakanan sihat?
Seorang selebriti yang merupakan ikon kepada gaya hidup yang sihat akan memberi
kesan yang lebih mendalam kepada pengguna remaja, malah mungkin mengubah
tanggapan mereka terhadap pemakanan sihat.
Menggalakkan prinsip pemakanan sihat
Kesihatan dan kesejahteraan yang baik memerlukan pendekatan yang sepenuhnya.
Ini yang dicerminkan dalam Garis Panduan Pemakanan Malaysia yang diterbitkan
oleh Jawatankuasa Penyelarasan Makanan dan Pemakanan Negara, KKM dalam tahun
1999.
Jawatankuasa ini berusaha menyemai satu persefahaman yang tidak berat sebelah
terhadap pemakanan sebagai satu tabiat pemakanan yang menyeluruh dan sihat
melalui aktiviti-aktiviti promosi seperti perniagaan, media dan masyarakat.
Bantu pengguna remaja untuk memahami bagaimana produk anda sesuai dari segi pemakanan
selain daripada membantu memenuhi keperluan khasiat pemakanan mereka.
Mendidik pengguna remaja membuat pilihan yang lebih sihat
Anda boleh memainkan peranan yang positif dalam meningkatkan diet pemakanan dan
tabiat makan pengguna remaja dengan mengukuhkan usaha anda dalam mendidik
mereka mengenai pemakanan dan kesihatan.
Sebagai pengeluar, anda sentiasa berhubung dengan trend sasaran pasaran anda.
Mengapa anda tidak menggunakan prinsip yang sama untuk mengiklankan produk anda
dengan menyampaikan mesej berpendidikan mengenai kesihatan dan pemakanan
berkaitan remaja dengan lebih menarik?
Dengan membantu mereka untuk memahami jumlah keperluan khasiat pemakanan, nilai
khasiat untuk makanan yang berbeza dan memahami label pemakanan pada produk,
anda membantu mereka dalam memilih makanan yang lebih sihat.
Menyokong program pendidikan awam
Pertimbangkan untuk menyokong program pendidikan awam yang dianjurkan oleh
badan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) sebagai sebahagian daripada
tanggungjawab sosial anda.
Anda juga boleh memulakan program pendidikan untuk remaja. Jika anda memutuskan
untuk melakukan aktiviti sedemikian, adalah penting untuk anda mendapatkan
pendapat dan panduan pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang tersebut.
Apa yang boleh dilakukan oleh pengusaha kedai makanan?
Menjaga persekitaran yang bersih dan sihat
Kedai makanan yang bersih dan selesa bukan sahaja lebih bermanfaat untuk
pengguna remaja malah akan menarik mereka untuk datang kembali. Pastikan meja
dibersihkan selepas pelanggan meninggalkan premis dan sebaik-baiknya, cuba
elakkan pelanggan daripada merokok dalam lingkungan premis anda. Jadikanlah
kebersihan satu amalan.
Menyediakan makanan secara sihat
Sediakan alternatif lebih sihat iaitu rendah kalori, lemak dan gula, serta
berkhasiat tinggi. Pastikan anda menyediakan hidangan yang kurang berminyak,
garam dan gula. Tingkatkan tekstur dan rasa serta pastikan hidangan yang
disediakan lebih menyelerakan dengan menambah lebih sayur-sayuran, herba serta
rempah semula jadi.
Saiz hidangan
Kedai-kedai makanan bersaing dengan agresif untuk memenangi hati pengguna
dengan memberi lebih banyak untuk harga yang rendah. Dengan membayar lebih
sedikit daripada harga asal, anda dapat menggandakan bahagian anda! Manipulasi
terhadap sifat tamak manusia mungkin dapat menarik lebih ramai pelanggan ke
kedai anda, namun ia bukanlah sesuatu yang bertanggungjawab.
Sediakan pilihan untuk saiz hidangan. Sebagai contoh, sediakan pilihan hidangan
bersaiz kecil, sedang dan besar. Dengan cara ini, para pengguna remaja tidak
akan terdorong untuk makan secara berlebihan atau membayar untuk saiz hidangan
yang tidak mampu mereka habiskan.
Pendidikan
Kedai-kedai tertentu seperti restoran mamak, kedai kopi dan kedai makanan
segera sangat popular di kalangan pengguna remaja. Kedai-kedai tersebut
merupakan saluran yang berkesan untuk mendekati remaja dan mendidik mereka
tentang pemakanan sihat.
Anda boleh mulakan dengan mempamerkan alternatif makanan yang sihat, kandungan
kalori dan maklumat khasiat utama dalam menu makanan anda dan mempamerkan
poster-poster yang mengandungi mesej pemakanan sihat di tempat-tempat yang
mudah dilihat di sekitar premis anda.
Selain bertanggungjawab dalam menyediakan makanan yang selamat untuk pengguna
remaja, anda juga bertanggungjawab untuk menyediakan makanan yang berkhasiat
untuk kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh. Inilah merupakan nilai
sebenar sesuatu produk dan perkhidmatan yang disediakan.
- Untuk maklumat lanjut berkenaan pemakanan dan amalan yang sihat, sila lawat
www.nutriweb.org.my
Sambung Baca:
http://anizyn.blogspot.com/2008/01/pemakanan-sihat-untuk-remaja.html#ixzz2WJ7mYob0