1. Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul
tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa,
negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga,
masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja
masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar
yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat
tersebut tercapai.
2. Tumpuan sepenuh hati
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa
mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap
pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa
guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh
golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu
hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka
sendiri.
3. Mulakan dari awal
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi
peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau
peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang
berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji,
berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model
jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan
peperiksaan.
4. Sentiasa bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk
ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan,
peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).
Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi
peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan
diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The
Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'
5. Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi
seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas,
dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan.
Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan
hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda
ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa
'bengang'?
6. Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya
setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin.
Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi
pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
7. Dapatkan bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang
lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya
apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah
mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau
mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
8. Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang
mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber
ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
9. Bersoal jawab dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang
telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah
berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
10. Beri pandangan membina
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses
pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar
dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga
dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
11. Berbncang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran
yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan,
kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi
kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
12. Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada
kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru
berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan
yang diberikan oleh guru mereka.
13. Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama
rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam
peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan
bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan
yang hanya suka temberang.
14. Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang
lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku
untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah
tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
15. Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk
mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada
isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
16. Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk
mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain
lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita
semasa.
17. Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri)
seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan
pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang
diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal
bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan
kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang
'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari
ubatnya.
18. Sediakan jadual waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran
pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman
untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini
mestilah dipatuhi.
19. Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk
melahirkan semangat dan keyakinan diri.
20. Sertai seminar peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi
memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar
yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain
daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua
berguna.
21. Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat
memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai
buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris,
"Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik
menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu
buku rujukan.
22. Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi
pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
23. Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang
diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir
pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan
sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya
akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis.
(fikirlah sendiri)
24. Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam
kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang
sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan
melahirkan pemikiran yang lembab.
25. Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang
sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan
minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah
hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa
dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara
yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan
dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.
26. Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang
bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan
bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan
jari tangan kanan dalam kemalangan.
27. Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga
kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan
makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan
di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup.
Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
28. Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan
yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat
berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan
kesihatan tubuh badan.
29. Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada
pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan
kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang.
Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan.
Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang
bakal menghadapi peperiksaan.
30. Sembahyang
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan
sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi
pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
31. Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada
Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda
pelajar.
32. Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika
gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan
kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua
bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih
cemerlang.
sumber http://www.adap.com.my/info.php?id=18